Hasrat mahu tampil berbeza dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) nampaknya tidak begitu menjadi apabila video muzik terbaharu Datuk Nora Ariffin, Samudera, mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan penonton.

Cik Bunga perhatikan, semakin menjadi-jadi pula fenomena penggunaan AI dalam dunia kreatif tanah air. Daripada iklan produk di TikTok sampailah ke video muzik penyanyi arus perdana, semuanya seperti mahu mencuba teknologi yang sedang menjadi trend ini.

Tetapi, persoalannya, adakah semua benda perlu menggunakan AI? Terbaharu, video muzik lagu Samudera nyanyian Datuk Nora Ariffin menjadi perhatian apabila pendekatan visual berteraskan AI yang digunakan mengundang kritikan netizen.