BEREGU lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King membuktikan kemampuan mereka bersaing di pentas tertinggi apabila merangkul gelaran kedua sejak digandingkan lebih kurang sebulan lalu selepas menjuarai Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun, semalam.
Pada aksi di Gimnasium Kumamoto, beregu ranking ke-57 dunia itu mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan No. 1 Jepun dan ranking ke-10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam pertarungan selama 55 minit.
Kemenangan berharga itu menyaksikan Aaron-Roy King mengulangi kejayaan menjuarai Terbuka Arctic bulan lalu yang juga merupakan kejohanan kompetitif pertama mereka sejak digandingkan.
Lebih manis, kejayaan di pentas bertaraf Super 500 itu turut menyaksikan Malaysia meneruskan aksi terbaik di Kumamoto Masters selepas kali terakhir dimenangi menerusi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada edisi tahun lalu.






