KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada harga minyak, keselamatan laluan perdagangan dan kestabilan ekonomi dunia, malah berpotensi mengancam satu lagi aspek penting, iaitu kesinambungan bekalan ubat-ubatan serta keselamatan sistem kesihatan negara. Perkembangan di Eropah menunjukkan kerajaan semakin serius membina simpanan strategik bagi menghadapi gangguan bekalan global.

Strategi Stockpiling Kesatuan Eropah yang diterima pakai pada Julai 2025 merangkumi barangan penting seperti makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan. Pendekatan ini mencerminkan perubahan daripada pengurusan krisis secara reaktif kepada persediaan jangka panjang.

Sistem kesihatan moden sangat bergantung pada rantaian bekalan antarabangsa. Bahan aktif farmaseutikal, peralatan perubatan, komponen elektronik dan produk diagnostik lazimnya melalui beberapa negara sebelum sampai kepada pengguna. Gangguan pada satu peringkat boleh menjejaskan pengeluaran serta pengedaran produk berkenaan.