Chonburi: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memotong lima kabel bekalan elektrik utama yang disambungkan kepada penjana kecemasan di Hospital Chonburi.

Perbuatan itu berpotensi mengancam nyawa ratusan pesakit yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Hospital Chonburi memaklumkan seorang penceroboh memasuki kawasan hospital kira-kira jam 2.30 petang pada 10 November lalu, dipercayai dengan tujuan mencuri kabel elektrik yang disambungkan kepada penjana kecemasan, lapor Khaosod English.

Kakitangan hospital mengesan aktiviti mencurigakan itu ketika menjalankan pemeriksaan rutin. Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran mereka, suspek melarikan diri dengan terjun melalui tingkap tanpa sempat mengambil sebarang barangan.