Serdang: Bermula dengan mengikut abang bermain sepak takraw ketika berusia lima tahun, Muhammad Arif Danial Mohd Hassan Al Hafiz,16, kini semakin serius mengembangkan bakat dalam sukan itu sehingga berjaya meraih pengiktirafan apit kiri terbaik Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan.

Dia yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, minatnya terhadap sepak takraw mula berputik sejak kecil sebelum memasang impian untuk terus melangkah jauh dalam sukan berkenaan.

"Saya mula bermain takraw pada usia 5 tahun dan pada ketika itu mengikut abang bermain sukan itu sekali gus terus minat untuk terbabit secara serius sehingga memasang impian mahu beraksi untuk Malaysia kelak.

"Saya tidak sangka bergelar juara untuk Zon Tengah-Selatan kerana banyak cabaran dan pasukan lawan juga agak hebat dan alhamudillah rezeki kepada kami," katanya, selepas tamat aksi final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.