MANILA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, hari ini memberi amaran bahawa penderitaan rakyat Myanmar kini mencapai tahap sangat serius, sambil menggesa semua pihak di negara itu melindungi orang awam dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB terakhir beliau sebagai Setiausaha Agung, Guterres menegaskan semula sokongan PBB terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN dan menggesa penyelesaian politik yang inklusif serta diterajui Myanmar bagi menangani punca utama krisis, menamatkan keganasan serta menjamin rakyatnya dapat menikmati hak mereka secara bebas dan aman.
"Saya menggesa semua pihak supaya melindungi orang awam, mematuhi undang-undang antarabangsa, dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan serta tanpa halangan," katanya dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB Ke-16, di sini.








