SEREMBAN: Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan (NS), Datuk Ismail Lasim dan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) menarik balik surat kepada Majlis Raja-Raja berkaitan status Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir minggu lalu disifatkan sebagai perkembangan positif ke arah melerai kemelut di negeri itu.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) NS, Mujibu Abd Muis berkata tindakan terbaharu itu sebagai langkah penting ke arah meredakan krisis perlembagaan serta institusi diraja NS daripada terus berpanjangan.

"Pada asasnya, keputusan ini memperlihatkan satu perubahan pendirian politik yang signifikan.

"Penarikan balik surat tersebut boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap keperluan untuk kembali menghormati kedudukan dan tertib pemerintahan beraja sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.