KUALA LUMPUR: Malaysia semakin dilihat sebagai destinasi pelaburan utama bagi sektor bernilai tinggi, disokong oleh pertumbuhan ekonomi digital, peningkatan keupayaan teknologi serta usaha berterusan untuk memperkukuh daya saing negara.

Ketua Pasaran Citi Malaysia, Ng Hooi Wan, berkata sentimen pelabur global terhadap Malaysia semakin positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan negara semakin dilihat sebagai lebih daripada sekadar destinasi pembuatan.

"Ketika syarikat mempelbagaikan rantaian bekalan dan menyalurkan modal ke seluruh ASEAN, Malaysia semakin muncul sebagai destinasi pelaburan yang lebih penting," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan ketika ini bukan lagi kepada persoalan sama ada pelabur berminat untuk melabur, sebaliknya sejauh mana pantas sesuatu projek dapat dilaksanakan dan diperluaskan.