KUALA LUMPUR – Sebarang perubahan atau peralihan kepimpinan politik di Kementerian Pengangkutan (MOT) dan kemelut kepimpinan tertinggi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak boleh sama sekali melumpuhkan proses membuat keputusan dan kawalan keselamatan lapangan terbang awam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ketua Setiausaha MOT selaku pegawai pengawal bersama Jemaah Menteri wajib memastikan kelangsungan tadbir urus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana peletakan jawatan Menteri Pengangkutan dan ketidaktentuan peralihan kepimpinan di kementerian itu tidak boleh melengahkan agenda transformasi operasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pascapenswastaan atau menjejaskan jadual projek berimpak tinggi.








