LONDON: Harga minyak jatuh lebih satu peratus pada Isnin apabila tanda pemulihan aliran eksport melalui Selat Hormuz mengukuhkan jangkaan lebihan bekalan, walaupun insiden baharu membabitkan kapal tangki menyerlahkan risiko terhadap eksport Timur Tengah.
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$1.67 (RM6.83) atau 1.74 peratus kepada AS$94.17 (RM385.16) setong pada 10.10 malam waktu Malaysia.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pula turun AS$1.14 (RM4.66) atau 1.29 peratus kepada AS$87.42 (RM357.56) setong.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat berkata, pasaran minyak global akan kembali mencatat lebihan bekalan pada suku keempat tahun ini.









