Ranau: Polis menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang dipercayai digunakan dalam kejadian remaja perempuan ditembak selepas disangka pelanduk, Sabtu lalu.
Senjata api itu ditemui disandarkan pada sebatang pokok di kawasan hutan Kampung Rinangkatan, di sini, hari ini selepas suspek menunjukkan lokasi senjata itu dibuang.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata penemuan itu hasil siasatan susulan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau bersama pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian semalam gagal menemukan senjata api yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.








