Ravenna: Kepulangan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho ke gelanggang profesional pada usia 46 tahun bukan sahaja mencuri tumpuan peminat, malah memberikan pulangan lumayan kepada kelab Itali, Ravenna apabila menjana hampir 200,000 euro (RM903,000) hasil jualan tiket.
Kelab Serie C itu mengesahkan jumlah berkenaan diraih menerusi perlawanan menentang Forli yang menyaksikan Ravenna mencatat kemenangan 2-0, sekali gus membuktikan tarikan luar biasa bekas pemenang Ballon d'Or itu.
Seramai 6,743 penonton membanjiri Stadium Benelli untuk menyaksikan kemunculan semula Ronaldinho, dengan kelab turut menyediakan tempat duduk sementara dinamakan Tribuna R10 bagi menampung permintaan tinggi.
Harga tiket ditawarkan antara 10 euro (RM45) untuk kanak-kanak bawah 14 tahun, 15 euro (RM67) bagi tempat duduk biasa dan sehingga 150 euro (RM677) untuk pakej hospitaliti premium.









