Nibong Tebal: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Besar Sungai Kechil di sini, ditutup secara rasmi semalam selepas banjir di kawasan berkenaan surut sepenuhnya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook memaklumkan bahawa penutupan itu membolehkan kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS pulang dengan selamat ke kediaman masing-masing.

"Susulan penutupan ini, segala operasi pemindahan, pengurusan dan penyelarasan bantuan di pusat berkenaan ditamatkan secara rasmi," menurut kenyataan itu.

Pada Ahad lalu, seramai 95 penduduk daripada 26 keluarga dipindahkan selepas banjir melanda dua kampung di Seberang Perai Selatan susulan hujan lebat berterusan pada malam sebelumnya.