Belum pun genap sehari selepas artikel saya yang mempersoalkan kewibawaan Ismail Lasim dan 10 bekas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang cuba menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan diterbitkan, muncul satu perkembangan yang mengejutkan.
Secara tiba-tiba, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir mengumumkan secara rasmi bahawa Ismail telah meletakkan jawatan sebagai menteri.
Reaksi pertama saya adalah lega. Pada pandangan saya, keputusan Ismail untuk berundur membuka peluang kepada Negeri Sembilan memulakan lembaran baharu.
Apa yang berlaku sejak beberapa minggu lalu meninggalkan kesan mendalam terhadap landskap politik dan adat istiadat negeri itu. Cubaan mencabar kedudukan Yang DiPertuan Besar sudah melampaui batas yang sukar dimaafkan oleh ramai rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik.








