SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan hanya dimaklumkan oleh kepemimpinan tertinggi parti berhubung hasrat Datuk Ismail Lasim untuk meletak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan tidak memaklumkan hasrat itu kepada beliau dan UMNO negeri.
“Saya hanya dimaklumkan oleh pimpinan tertinggi parti hasrat Yang Amat Berhormat (Ismail) untuk meletak jawatan. Beliau (Ismail) secara peribadi tak ada maklumkan kepada UMNO negeri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.








