SEREMBAN: Seorang kanak-ka­nak perempuan berusia lima tahun yang menghidap kanser otak memerlukan bantuan sebanyak RM60,000 bagi mendapatkan mesin bantuan pernafasan mudah alih dan mesin penyedut ka­hak (suction).

Bantuan itu diperlukan keluarganya sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir enam bulan menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.

Ibunya, Mardiana Abdul Husin, 26, berkata, anak sulung­nya, Tiara Camelia Muhammad Ralfie disahkan menghidap kan­ser otak jenis Pilocytic Astrocytoma pada 14 Jun lalu sebelum dirujuk ke HTA untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pihak hospital memaklumkan, anaknya itu dibenarkan pulang selepas kedua-dua peralatan berkenaan diperoleh bagi memastikan keadaannya terus dipantau dan men­dapat penjagaan rapi di rumah.