PETALING JAYA: Lebih 1,000 mangsa bah di Selangor, hari ini masih ditempatkan di enam Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Kuala Selangor berikutan kediaman mereka berdepan banjir termenung sejak minggu lalu.

Situasi tersebut dibimbangi mengganggu persiapan pelajar Tingkatan 5 di kawasan terjejas yang bakal menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Isnin depan.

Menerusi maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak enam sekolah dijadikan PPS yang menempatkan 307 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela, SK Parit Mahang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah, Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok.