PUTRAJAYA: Semua pihak diminta tidak merumitkan kemelut politik di Negeri Sembilan dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham, sebaliknya memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata semua pihak sewajarnya membiarkan proses berkenaan berjalan sebaik-baiknya tanpa mengeluarkan kenyataan lanjut yang boleh mengundang pelbagai tafsiran.

Sehubungan itu, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai kemelut di negeri berkenaan bagi mengelakkan kenyataannya disalah tafsir sehingga merumitkan keadaan.

"Saya fikir kita tidak perlu lagi merumitkan keadaan. Proses berjalan, biarlah ia berjalan dengan sebaik-baiknya. Saya tidak mahu buat kenyataan-kenyataan, nanti disalah anggap. Proses berjalan seperti biasa," katanya.