LOS ANGELES: Penyanyi Britain, Raye yang popular dengan lagu bercorak gabungan genre muzik, Where Is My Husband!, mendahului senarai pencalonan Anugerah Grammy 2027 dengan mengetepikan penyanyi Sepanyol, Rosalía dan penyanyi lagu Choosin' Texas, Ella Langley.

Penganjur acara, Recording Academy mengumumkan Raye meraih 11 pencalonan termasuk kategori Lagu Terbaik dan Rakaman Terbaik menerusi lagu Where Is My Husband!. Raye juga tercalon dalam kategori Album Terbaik menerusi album terbaharunya, This Music May Contain Hope.

Rosalía pula mengumpul sembilan pencalonan, beberapa hari selepas mendominasi Anugerah Grammy Latin menerusi album Lux, lapor REUTERS.

Langley yang pertama kali tercalon, meraih tujuh pencalonan, jumlah sama seperti Miranda Lambert, Olivia Rodrigo dan Phoebe Bridgers. Bintang pop terkenal, Taylor Swift pula memperoleh lima pencalonan.