KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ketika pelabur menantikan pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 pada tengah hari ini.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0910/0965 berbanding dolar AS daripada 4.0915/0960 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran akan tertumpu sepenuhnya kepada pengumuman KDNK, dengan pertumbuhan yang mengatasi jangkaan dijangka menyokong ringgit.

Mengenai perkembangan luaran, katanya Indeks Dolar AS kekal tinggi pada 103.550 mata berikutan pasaran terus menilai pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) berkaitan kadar faedah dan implikasinya menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Disember.