PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan sekitar 5.3 peratus pada suku ketiga 2026, selari dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), malah berkemungkinan merekodkan prestasi lebih baik.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka sebenar yang akan diumumkan DOSM dijangka tidak jauh berbeza daripada anggaran awal berkenaan.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 5.5 peratus, mencerminkan momentum ekonomi yang kekal kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini semalam.

Menurutnya, Malaysia dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus bagi tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menunjukkan prestasi ekonomi negara terus berada pada landasan positif.