KUALA LUMPUR: Prospek ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2026 dijangka kekal positif dengan permintaan domestik terus disokong oleh peningkatan guna tenaga, sokongan fiskal bersasar dan aktiviti pelaburan yang berterusan, menurut Kumpulan Bank Dunia.

Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Dr Zafer Mustafaoğlu, berkata prospek jangka pendek kekal tidak menentu berikutan konflik geopolitik, ketegangan perdagangan dan permintaan global yang lebih lemah yang semuanya memberi tekanan kepada perdagangan serta keyakinan.

"Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia kekal terdedah kepada kesan perkembangan luaran, khususnya menerusi saluran perdagangan dan kewangan," katanya.