KOTA BHARU: Hanya kerana ingin menyara keluarganya hidup dalam kemiskinan di Myanmar, seorang wanita sanggup mengambil risiko memasuki semula Malaysia secara haram bagi mencari pekerjaan sebelum ditahan pihak berkuasa.

Warga Myanmar berusia 30 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Erika, sebelum ini bekerja di restoran di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah sejak tahun lalu.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia setahun itu berkata, dia membayar RM3,000 kepada seorang ejen Thailand bagi menguruskan perjalanannya dari Tak Bai ke Selangor, untuk bekerja sebagai tukang masak.

Menyangka dia boleh kembali bekerja di restoran sama selepas pulang ke Myanmar bulan lalu, Erika mengambil keputusan melakukan perjalanan itu sekali lagi, kali ini bersama dua sahabat karibnya yang masing-masing berusia 18 dan 28 tahun.