BANGKOK: Seorang wanita warga China yang disyaki mendalangi sindiket ibu tumpang haram bernilai lebih 700 juta baht (RM84.6 juta) membabitkan kelahiran lebih 2,300 bayi ditahan di sebuah kondominium di Bangkok.
Suspek berusia 45 tahun yang hanya dikenali dengan nama samaran Wo itu ditahan di daerah Huai Khwang.
Menurut maklumat daripada penyiasat China, Wo adalah antara tujuh individu yang didakwa mengendalikan rangkaian perubatan dan ibu tumpang haram di negara itu sejak 2019.
Kumpulan berkenaan didakwa merekrut penderma ovum serta menjalankan proses pengambilan ovum, pembentukan embrio, ujian genetik, pemilihan jantina dan pemindahan embrio di kemudahan perubatan tidak berlesen sebelum menyerahkan bayi kepada pelanggan yang membuat bayaran.








