Madrid: Pemegang saham majoriti FC Andorra, Gerard Pique menyifatkan hukuman penggantungan 12 perlawanan terhadap penjaga gol, Jesus Owono susulan insiden perlanggaran yang mengorbankan penyerang Tenerife, Jesus de Miguel sebagai tidak adil.
Bekas pemain Sepanyol dan Barcelona itu berkata, hukuman berkenaan seolah-olah meletakkan kesalahan terhadap Owono atas akibat kejadian yang di luar kawalannya.
Owono, pemain antarabangsa Equatorial Guinea, dilayangkan kad merah ketika aksi divisyen dua Sepanyol pada 2 November lalu selepas berlari keluar ke kawasan tengah padang sebelum bertembung dengan De Miguel ketika cuba mengeluarkan bola.
De Miguel, 30, dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi, namun meninggal dunia keesokan harinya, sekali gus mencetuskan kejutan serta suasana berkabung dalam arena bola sepak.








