Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 tahun (B-17) negara meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-17 apabila membelasah Guam 10-0 dalam aksi kedua, malam ini dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kemenangan besar itu menyaksikan anak buah Shukor Adan sekali lagi membuktikan ketajaman jentera serangan mereka dalam misi memburu tiket ke pusingan akhir kejohanan berkenaan.

Malaysia yang menurunkan beberapa muka baharu menyaksikan penjaga gol, Airil Ridzman membuat penampilan pertama, manakala Fareez Danial Fadzly terus diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten.

Skuad negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Nur Azam Muslim pada minit kelapan sebelum Brian Felix menggandakan kelebihan lima minit kemudian menerusi tandukan hasil hantaran lintang rakan sepasukan.