KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia memberi tumpuan kepada usaha memudah cara perdagangan hasil pertanian di sempadan Sarawak-Kalimantan, khususnya menangani proses kelulusan eksport yang mengambil masa lama sehingga boleh menjejaskan kelancaran perdagangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu antara dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, beliau berkata pertemuan itu turut menyentuh kepentingan memperkukuh kemudahan perdagangan melalui pintu sempadan rasmi bagi membantu pengusaha dan masyarakat di kedua-dua negara.








