KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara mengamuk di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras apabila membelasah Guam 10-0 dalam aksi ketiga Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 2027, malam tadi.

Kemenangan besar itu menyaksikan skuad kendalian Shukor Adan meraih kemenangan kedua daripada tiga perlawanan setakat ini sekali gus mengumpul enam mata untuk terus menghidupkan peluang memburu slot ke pusingan akhir kejohanan berkenaan.

Malaysia yang sebelum ini menewaskan Singapura tetapi tewas kepada Palestin jelas tampil dengan misi memburu kemenangan apabila terus mengasak kubu Guam sejak wisel permulaan.

Azam Muslim Hisham membuka tirai jaringan seawal minit kelapan sebelum Brian Felix Harrison menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-14.