DALAM dunia seni yang semakin rancak meraikan kemunculan bakat baharu, nasib penggiat veteran tidak wajar dipinggirkan apatah lagi selepas puluhan tahun mereka menjadi antara tonggak yang membina industri kreatif tanah air.

Menyedari hakikat tersebut, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan artis veteran ke set penggambaran, sekali gus membuka semula peluang pekerjaan yang semakin terhad buat golongan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, bantuan kewangan dan sumbangan kebajikan penting, namun perkara lebih utama adalah memastikan anak seni veteran terus mempunyai sumber pendapatan menerusi bidang yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.