PETALING JAYA – Sindiket penipuan dalam talian dikesan semakin licik apabila menjadikan golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) daripada keluarga kurang berkemampuan sebagai sasaran baharu keldai akaun dengan tawaran upah serendah RM40.
Kegiatan itu dilaporkan semakin berleluasa di beberapa buah negeri khususnya melibatkan penuntut IPT di sekitar Lembah Klang, Selangor serta Pulau Pinang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket terbabit sengaja memburu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang terdesak memerlukan wang perbelanjaan sebelum memperdaya mereka menerusi pelbagai muslihat.
Menurutnya, taktik terbaharu yang digunakan adalah dengan mengarahkan mangsa membuka akaun bank digital secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mana-mana cawangan fizikal.









