PUTRAJAYA – UMNO menafikan mengarahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim supaya meletakkan jawatan susulan kemelut politik yang melanda negeri itu.Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat atas kehendak Ismail sendiri dan bukannya hasil arahan parti."Tidak timbul soal itu, kerana peletakan jawatan itu dibuat oleh Ismail sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Fesrival Ideas Putrajaya (FOI) di sini pada Selasa.Terdahulu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Ismail telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada istana, berkuat kuasa Isnin. Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Ismail tidak memberikan alasan khusus berhubung keputusan melepaskan jawatan berkenaan."Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin," katanya.Sementara itu, Ahmad Zahid berharap perkembangan terbaharu itu dapat membantu menyelesaikan kemelut politik Negeri Sembilan secara baik.Beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhadap calon Menteri Besar baharu yang dikemukakan BN.