KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,883 kandungan pemalsuan imej atau deepfake, diturunkan penyedia perkhidmatan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), susulan aduan orang ramai sejak 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata MCMC turut menyiasat 61 kes berkaitan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Oktober, dengan 10 kes didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, daripada 10 kes yang didakwa itu, enam sudah mendapat keputusan mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda RM19,500, manakala empat lagi masih dalam prosiding.