Kuala Lumpur: Isu pengosongan premis perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Seri Semarak di Setapak Jaya di sini kini menuju ke arah penyelesaian saksama menerusi pendekatan "jalan tengah" yang mengambil kira kelangsungan mata pencarian peniaga serta pematuhan undang-undang.
Penyelaras Zon Parlimen Setiawangsa Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata rundingan intensif yang melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pemaju, 59 Inc Sdn Bhd telah menghasilkan beberapa komitmen penting bagi membantu 98 pengusaha terjejas yang telah beroperasi di kawasan tersebut sejak 31 tahun lepas.
Beliau berkata mesyuarat bersama pihak berkepentingan bersetuju bahawa pihak pemaju akan menyediakan bayaran ex-gratia dan bantuan pemindahan, manakala tiga tapak alternatif milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah dikenal pasti untuk dipilih oleh pihak peniaga.






