Rukun Negara yang diperkenalkan pada 1970 terus menjadi kerangka nilai bersama dalam mengurus kepelbagaian masyarakat Malaysia. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) terus memperkukuh kedudukan Rukun Negara sebagai landasan bersama dalam pembinaan negara bangsa menerusi pelbagai langkah menyeluruh yang bukan sekadar memastikan ia dilafazkan tetapi turut difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian rakyat.

Usaha itu diperluas merentasi pelbagai lapisan masyarakat, daripada peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) sehinggalah ke Parlimen, perkhidmatan awam, komuniti dan sektor korporat.

Langkah itu diperkukuh susulan persetujuan Jemaah Menteri pada 2023 supaya lafaz Rukun Negara dibaca secara penuh, bermula dengan mukadimah dan diikuti lima prinsip, dalam program rasmi kerajaan termasuk perhimpunan di sekolah.