Nur Sharina Cik Ibrahim mahu masyarakat mengubah tanggapan terhadap penghuni Sekolah Henry Gurney dan membantu mereka membina hidup baharu.

PETALING JAYA: "Keluar nanti, saya nak bunuh mak saya". Kata-kata seorang penghuni perempuan di Sekolah Henry Gurney (SHG) hampir sedekad lalu masih terngiang-ngiang di telinga pensyarah kanan sebuah universiti di Cyberjaya, Nur Sharina Cik Ibrahim.

Menurut Sharina, remaja itu antara 10 penghuni yang diselidiki dalam kajian PhD beliau mengenai intervensi psikologi ke atas pesalah juvana.

"Sepanjang dia berada di situ, ibunya banyak kali datang menjenguk, tetapi dia enggan berjumpa.

"Beberapa minggu selepas menjalani sesi terapi, saya dimaklumkan dia mahu berjumpa dan akhirnya memeluk ibunya," katanya kepada FMT tanpa mendedahkan butiran kes atas faktor kerahsiaan.