Johor Bahru: Operasi penyamaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor berjaya menahan masing-masing seorang ulat tiket dan pemandu teksi haram yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan tidak sah ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), JB Sentral, di sini, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan di sepanjang Jalan Jim Quee, di sini, susulan aduan orang awam berhubung kegiatan ulat tiket dan kenderaan tidak berlesen yang memujuk penumpang untuk ke Singapura.

Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin berkata, sepasukan anggota yang menyamar ditempatkan di terminal berkenaan sebelum seorang lelaki menghampiri seorang pegawai yang menyamar sebagai penumpang dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan ke Singapura.