PETALING JAYA: Pelakon, Nazrief Nazri memohon maaf atas kecaman yang diterimanya susulan komen berhubung isu dakwaan gangguan seksual membabitkan pelakon, Zarif Ghazzi dan Puteri Balqis.
Nazrief atau Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 35, berkata, dia mengakui penggunaan gelaran ‘bohsia’ ketika mengulas isu berkenaan tidak sepatutnya dilakukan, meskipun dia mempunyai pandangan sendiri mengenai perkara itu.
“Maaf atas pemilihan perkataan saya. Memang tidak patut saya panggil orang ’bohsia’. Saya akui silap saya. Tapi saya tidak suka orang buat tuduhan tanpa bukti, lebih-lebih lagi orang yang dituduh itu saya kenal dan tahu bagaimana peribadinya,” katanya menerusi satu balasan komen di Threads.
Jelas pelakon Seribu Tahun Lagi itu, dia mahu melihat bagaimana isu berkenaan berakhir sebelum mengetahui siapa yang sebenarnya bersalah.







