Pejabat Menteri Besar Perak nafi dakwaan bahawa DUN telah dibubarkan, atas perkenan Sultan Nazrin Shah. (Gambar Bernama)IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan yang tular di beberapa platform media sosial kononnya Menteri Besar Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi memohon dan telah mendapat perkenan pembubaran DUN.

Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan pihaknya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu yang disifatkan sebagai tidak benar dan tidak berasas.

“Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil,” katanya dalam kenyataan.