Ipoh: Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan beberapa platform media sosial kononnya Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi memohon dan telah mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu yang disifatkan sebagai tidak benar dan tidak berasas.
"Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.
"Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil," menurut kenyataan itu.








