Kuala Lumpur: Star City FC merancang memperkemaskan kekuatan pasukan khususnya di bahagian pertahanan menerusi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang bakal dibuka Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star City FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, penambahbaikan itu penting bagi memastikan pasukan memiliki keseimbangan lebih baik di setiap posisi dalam usaha mengharungi baki saingan liga yang dijangka semakin sengit dan mencabar.

Menurutnya, bahagian pertahanan antara posisi yang perlu diberikan perhatian bagi membolehkan skuad kendalian Mehmet Durakovic tampil lebih mantap menjelang pusingan kedua liga.

"Kita melihat benteng pertahanan perlu ditambah baik dan saya fikir mungkin kita akan tambah baik posisi itu. Agak rugi, bila kita mendahului kemudian dibolosi pula. Pertahanan kena lebih kukuh," katanya.