Kuala Lumpur: Syarikat teknologi pertahanan Perancis, Thales dan Weststar Group memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam pembangunan keupayaan komunikasi satelit, sistem pertahanan udara termaju serta keselamatan siber di Malaysia.

Kerjasama strategik itu bertujuan menyokong aspirasi Malaysia memperkukuh kedaulatan teknologi angkasa lepas, meningkatkan keselamatan negara dan mengurangkan kebergantungan operasi terhadap keupayaan luar.

MoU pertama dimeterai antara Thales Alenia Space, syarikat usaha sama Thales yang memiliki 67 peratus kepentingan dan Leonardo (33 peratus), dengan Weststar Aviation Services Sdn Bhd bagi meneroka pembangunan keupayaan komunikasi satelit yang selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan.