ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamatkan lawatan kerja empat hari ke Türkiye hari ini, dengan tumpuan memperkukuh hubungan Malaysia-Türkiye dalam bidang perdagangan, pertahanan, pendidikan dan diplomasi.

Lawatan bermula Khamis lalu hingga hari ini bertujuan mengekalkan momentum pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara yang sudah menjalin hubungan erat sejak 17 Jun 1964.

Ia turut memperkukuh hubungan dua hala yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memulakan lawatannya dengan menghadiri Forum TRT World 2026 di Istanbul Congress Centre pada Jumaat lalu atas jemputan Perbadanan Radio dan Televisyen Türkiye (TRT).