Kuala Lumpur: Saingan Zon Timur Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 mencatat penyertaan paling tinggi setakat ini apabila kesemua 48 slot yang disediakan berjaya dipenuhi menjelang pertandingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Delegasi Teknikal Liga Takraw Nasional Mekdi 2026, Yusoff Ali berkata, sambutan memberangsangkan itu membuktikan pertandingan berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dan penyokong sukan sepak takraw tanah air.

Menurutnya, penyertaan kali ini bukan sahaja membabitkan pasukan dari Pantai Timur, malah turut menarik minat regu dari beberapa negeri lain termasuk Johor, Kedah, Melaka dan Kuala Lumpur.