PETALING JAYA: Pengarah Urusan Yes Group Management Berhad, Angela Mak menerima pengiktirafan Usahawan Terkemuka dalam Perjalanan Korporat dan MICE pada Anugerah SEBA ASEAN 2025/2026, menjelang penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 November ini.

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan kejayaan kepimpinan Angela membangunkan Yes Travel & Holidays Sdn Bhd (Yes Travel) daripada sebuah perniagaan perancangan acara korporat pada 2008 kepada penyedia penyelesaian menyeluruh bagi segmen Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

Angela berkata, perjalanan Yes Travel sejak ditubuhkan 18 tahun lalu menyaksikan perniagaan itu berkembang daripada perancangan acara korporat kepada penyedia perkhidmatan MICE yang merangkumi pelancongan insentif serta program acara untuk pelanggan korporat di dalam dan luar negara.