Kuala Lumpur: Pemain kebangsaan, Shaqeem Izwan Teh bertekad memanfaatkan peluang terakhirnya untuk memburu kejuaraan kategori terbuka lelaki pada Kejohanan Remaja Antarabangsa All-Stars ke-26 di Sunway Mega Lanes, bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun itu yang muncul naib juara tahun lalu selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Kim Soo Han, mengakui misi kali ini cukup bermakna selepas menyertai kejohanan berkenaan sejak berusia tujuh tahun tanpa pernah memenangi gelaran utama itu.

Shaqeem yang pernah menjuarai kategori bawah 12 tahun berkata, kegagalan mengawal tekanan pada aksi final tahun lalu menjadi pengajaran penting menjelang penampilan terakhirnya dalam kejohanan berkenaan.

"Sudah tentu saya berasa sedikit tertekan kerana ini tahun terakhir saya dan masih belum pernah memenangi gelaran terbuka lelaki.