Kota Tinggi: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati ahli keluarga Datuk Ismail Lasim supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran Negeri Sembilan.

Beliau menegaskan sebarang perkara berkaitan pentadbiran kerajaan negeri itu hanya membabitkan Ismail selaku Menteri Besar yang didakwa sudah menyerah surat peletakan jawatan.

"Ini adalah perkara berkaitan pentadbiran negeri. Apa kaitannya dengan keluarga? Ini mengenai Menteri Besar, bukan bapanya. Ismail Lasim tidak mempunyai masalah," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Ke-62 antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan anak Ismail dikenali Naim yang dikatakan campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri, selain mempersoal isu peletakan jawatan Ismail dan krisis perlembagaan negeri.