KUALA LUMPUR: Penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik meskipun usianya kini semakin menghampiri 70 tahun.

Malah, penyanyi yang popular menerusi lagu Isabella itu menegaskan kunjungannya ke hospital baru-baru ini bukan disebabkan masalah kesihatan seperti dibimbangi peminat susulan foto dirinya berada di hospital tular di media sosial.

Sebaliknya, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, berkata kunjungan itu bertujuan menjalani pemeriksaan kesihatan rutin bagi memastikan keadaan jantung serta anggota badannya berada pada tahap baik.

Katanya, pemeriksaan kali ini membabitkan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan angiogram bagi menilai keadaan jantung serta mengesan sebarang masalah kesihatan.