KUALA LUMPUR: Jenama minuman cola tempatan, Kuala Cola, memperluaskan rangkaian pengedarannya menerusi kerjasama strategik dengan 5Petrol, sekali gus membolehkan produknya kini dipasarkan di 19 stesen minyak berkenaan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kuala Cola yang dibangunkan oleh Neatness Group Sdn Bhd, melihat kerjasama itu sebagai langkah penting dalam memperkukuh kehadiran jenamanya dalam pasaran minuman tempatan, khususnya menerusi saluran peruncitan stesen minyak.

Perkembangan itu diumumkan sempena Majlis Pelancaran Rasmi Kuala Cola di 5Petrol KLIA Pit Stop, di sini, hari ini.

Menurut syarikat itu, 5Petrol menjadi rangkaian stesen minyak pertama yang membuka peluang kepada Kuala Cola untuk memasuki saluran pengedaran berkenaan, sebelum kerjasama tersebut berkembang kepada 19 lokasi.