KUALA LUMPUR: Public Bank meluaskan lagi tawaran pembayarannya bagi meningkatkan perkhidmatan untuk pelanggan yang melancong, bekerja dan melanjutkan pengajian di luar negeri.

Menerusi MyPB App, pelanggan boleh membuat pembayaran rentas sempadan menggunakan kod QR secara terus daripada akaun Ringgit Malaysia mereka melalui Alipay+, yang meliputi 55 negara dan wilayah di Asia, Eropah, benua Amerika dan Oceania.

Public Bank merupakan peserta dalam rangkaian Alipay+, iaitu gerbang dompet digital bersepadu oleh Ant International. Melalui AliPay+, pelanggan dengan MyPB App boleh membuat pembayaran di premis perniagaan yang memaparkan logo Alipay atau Alipay+. Ini termasuk jutaan lokasi penerimaan pembayaran di kedai runcit, restoran, pengangkutan awam dan tempat tarikan pelancong di China.