PETALING JAYA: UMNO dilihat cuba menjejaskan usaha memulihkan hubungan antara kepemimpinan Negeri Sembilan dengan Istana, selepas tindakan parti itu yang didakwa mendesak peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim ketika proses perdamaian masih berlangsung.

Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan berkata, cara peletakan jawatan Ismail dikendalikan telah mengganggu usaha menyelesaikan ketegangan antara pentadbiran negeri dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau dalam masa yang sama turut mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebelum perkara itu disahkan sendiri secara terbuka oleh individu berkenaan.